Op Lusuh Khas Sarawak rampas 52kg kabel tembaga bernilai RM2,444

Facebook
WhatsApp
KENYATAAN media daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung Ops Lusuh.

KUCHING, 24 Oktober: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak merampas 52 kilogram kabel tembaga yang dianggarkan bernilai RM2,444 menerusi Op Lusuh Khas Bersepadu Kontinjen Sarawak Bil. 2/2026 yang dijalankan dari 20 Oktober hingga semalam.

Nilai rampasan itu berdasarkan anggaran harga pasaran RM47 sekilogram menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak (KJSJ).

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, operasi itu dilaksanakan di seluruh Sarawak bagi memeriksa premis yang menjalankan aktiviti berkaitan barangan lusuh serta memastikan pematuhan terhadap syarat dan peraturan yang berkuat kuasa.

Katanya, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 84 premis dan 147 individu diperiksa dengan penglibatan 470 pegawai dan anggota serta 20 jabatan atau agensi.

KENYATAAN media Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung Ops Lusuh

“Daripada jumlah premis yang diperiksa, 80 mempunyai lesen manakala empat lagi tidak berlesen.Operasi berkenaan turut merekodkan 13 tangkapan dan 22 rampasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifullizan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjual atau membeli barangan yang disyaki diperoleh secara tidak sah, selain menyimpan dokumen atau bukti urus niaga berkaitan.

Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan kepada pihak polis atau balai polis berhampiran.

Pemilik dan pengusaha premis barangan lusuh pula diingatkan supaya memastikan lesen serta kelulusan berkaitan sentiasa sah, menyimpan rekod urus niaga dan dokumen sumber barangan dengan teratur, serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan.

“Kerjasama masyarakat dan pengusaha premis penting bagi membantu mencegah penjualan barangan curi serta menjaga keselamatan komuniti,” menurut kenyataan itu.

PDRM Sarawak akan meneruskan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan penjualan barangan curi dapat dibendung.

Oleh Shahrul Qaizat