KOTA SAMARAHAN, 24 Oktober: Empat lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, malam kelmarin.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi yang berlangsung dari 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam itu turut melibatkan sekatan jalan raya, rondaan pencegahan jenayah di kawasan panas serta serbuan dan tangkapan bagi membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah berkenaan.
Sepanjang operasi, polis memeriksa 51 kenderaan dan 61 individu selain mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
IPD Kota Samarahan dalam kenyataan hari ini, memaklumkan operasi pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang akan terus dipergiatkan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Oleh Afiq Sallehi




