MUKAH, 26 Oktober: Polis Daerah Mukah menahan seorang wanita tempatan berusia 51 tahun yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah berhampiran kawasan tanah perkuburan Mukah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah yang menjalankan Op Tapis Khas kira-kira 10.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan badan yang dijalankan di lokasi tidak menemukan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamin dan syabu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Rizal, siasatan awal mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu mengaku mula terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak awal 2026.
Dalam pada itu, suspek turut mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan lanjut, manakala polis sedang mengesan sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Mukah serta mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Oleh Adibfahmy





