Lelaki mabuk ditahan dalam Op Mabuk di Miri

Facebook
WhatsApp
PERIKSA...Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya menerusi Op Mabuk di Miri.

MIRI, 26 Oktober: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ,baru-baru ini.

Dalam operasi yang dijalankan dari 11.30 malam, 22 Oktober hingga 4.00 pagi, 23 Oktober itu, sebanyak 20 saman dikeluarkan hasil pemeriksaan di sepanjang Jalan Miri-Airport.

Ketua Polis Daerah,  ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, seramai 103 individu terdiri daripada 95 lelaki dan lapan wanita diperiksa bersama 92 kenderaan.

Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk memandu tanpa lesen, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh dan tidak mempamerkan tanda ‘P’ pada kenderaan.

Suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Miri untuk tindakan lanjut selepas ujian pernafasan menggunakan alat saringan pernafasan untuk mengesan alkohol  (SD2) menunjukkan kehadiran alkohol dalam badannya ketika memandu.

Sampel darah suspek kemudian diambil di Jabatan Forensik Hospital Miri bagi membantu siasatan lanjut.

Mohd Farhan berkata, individu yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 dan penjara maksimum dua tahun bagi kesalahan pertama.

Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap pemandu atau penunggang yang berada di bawah pengaruh alkohol sehingga membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan trafik kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran.

Oleh Liong Chai Ling