SARAWAK United FC berhasrat memburu kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B TM Piala Malaysia 2021 menentang Sri Pahang FC di Stadium UITM Shah Alam, malam nanti.
Ketua Jurulatihnya, E. Elavarasan yang berpandangan bahawa skuad bimbingannya itu mampu meraih keputusan positif sekiranya skuad Kenyalang Emas mengekalkan prestasi cemerlang yang dipamerkan ketika menentang Penang FC, Ahad lalu.
Namun, beliau mahu anak buahnya melupakan kejayaan mengejut membenam Harimau Kumbang pada perlawanan pembukaan dan mahu memberi tumpuan penuh ke arah pertemuan menentang kelab dari Pahang tersebut.
Kemenangan yang diraih menentang Penang FC 3-1 baru-baru ini katanya mampu menyuntik semangat pemain untuk berdepan perlawanan kedua menentang Sri Pahang FC, namun, itu tidak bermakna mereka perlu leka dan selesa.
“Kalau nak kata puas hati, kadang-kadang apabila bermain bagus, kita boleh kalah dan kadang-kadang apabila bermain tidak bagus, kita menang, jadi yang penting adalah keputusan ini bagi meraih tiga mata.
“Jadi, kalau nak tanya pasal puas hati ke tidak, saya tidak boleh cakap lagi sebab masih ada lima perlawanan selepas ini, banyak benda lagi kita tidak tahu apa akan jadi, apatah lagi apabila berlawan dengan pasukan daripada divisyen yang lebih tinggi dari kita.
“Perjalanan masih jauh, kita kena tengok pasukan mampu konsisten atau tidak. Hanya kemenangan sahaja yang mampu membawa sesebuah pasukan itu melangkah lebih tinggi,” jelasnya.
Bekas jurulatih Melaka United FC ini tetap berbangga dengan usaha barisan pemain bagi memastikan permulaan yang cukup positif untuk mereka meraih tiga mata pertama sebelum ini, dan bersedia dengan motivasi baharu bagi berdepan Sri Pahang FC malam ini.
Dalam pada itu, kem Sarawak United kembali ceria apabila kembalinya dua tonggak utama mereka iaitu Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli dan Mohammad Amer Saidin yang terlepas aksi ketika menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam saingan Liga Premier dan aksi pembuka tirai menentang Penang FC, Ahah lalu kerana digantung dua perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), baru-baru ini.
Namun, penjaga gol utama mereka, Sharbinee Alawee yang digantung lima perlawanan, masih ada lagi baki tiga aksi untuk kembali ke kem Sarawak United.
Elavarasan berharap dengan kehadiran semula dua tonggak dibarisan pertahanan dan tengah itu mampu menguatkan lagi perancangan beliau dalam lima baki aksi TM Piala Malaysia musim ini.
Diundi dalam Kumpulan A, Sarawak United bakal menghadapi Sri Pahang FC pada perlawanan kedua malam ini dan Kuala Lumpur City FC pada 30 Oktober nanti.
Oleh ADI SAFARMAN