HASRAT skuad Kuching City FC untuk meraih tiga mata pertama dalam aksi sulung mereka pada saingan TM Piala Malaysia 2021 tidak kesampaian apabila ditewaskan oleh Terengganu FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam semalam.
Satu gol dalam setiap babak membantu Terengganu FC memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan dan menepati ramalan mengutip mata penuh berdepan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.
Turun selaku tuan rumah, Terengganu FC hanya memerlukan tiga minit untuk menguji kubu lawan menerusi sepakan bebas Lee Tuck yang ditepis penjaga gol, Wan Muhammad Azraei Wan Teh.
Kuching City terus cemas apabila sepakan percuma Tuck disambar Makan Konate mujur tandukan pemain Mali itu terkena tiang pada minit kesembilan.
Tekanan diberi Terengganu FC membuahkan hasil pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti Tuck setelah Wan Muhammad Azraei menjatuhkan Jordan Mintah untuk gol pembukaan perlawanan.
Anak-anak buah Irfan Bakti cuba memberi saingan namun percubaan deras Diego Baggio dinafikan penjaga gol Terengganu, Mohd Suhaimi Husin, seminit sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, skuad Penyu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua menerusi Faisal berpunca daripada sepakan sudut Tuck yang singgah di kepala Konate dan bola muntah daripada dakapan bekas penjaga gol Terengganu FC itu disambar pemain kelahiran Pulau Pinang pada minit ke-48 untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.
Terengganu FC berpeluang untuk menambah jaringan ketiga menerusi Mintah pada minit ke-57, tapi percubaan pemain kelahiran Ghana itu dalam kotak penalti berjaya dibaca penjaga gol.
Memasuki pertengahan babak kedua, Nafuzi memasukkan penyerang, David Da Silva bagi menggantikan Mintah, namun pemain kelahiran Brazil itu gagal menambah jaringan dan kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat perlawanan dengan Terengganj mendahului carta Kumpulan B diikuti Selangor FC, Perak FC dan Kuching City.
Oleh ADI SAFARMAN