BETONG, 23 Oktober: Komitmen dalam memastikan kebajikan dan keperluan asas pelajar terus terbela diterjemahkan melalui pelaksanaan Program Penyerahan Sumbangan Ihsan Food Bank Siswa yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Kedit, semalam.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman itu berjaya menghimpunkan warga sekolah, pelajar Kelab Gerakan Pengguna Siswa serta rakan strategik yang tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan pelajar yang memerlukan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Menchon Mering@Maring, bersama Guru Penasihat Gerakan Pengguna Siswa, Lim Tsuey Shya dan Mary Dacker Lanya serta para pelajar yang aktif dalam Kelab Gerakan Pengguna Siswa.
KPDN Sri Aman pula diwakili oleh Ketua Cawangan KPDN Sri Aman, Qartinee Mohamad Esa bersama Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Arina Rosland, PmP Linton Ingkas Henry, Dayang Aini Syafikka Abang Jais dan Catherine Lawas Jimbau yang mewakili penyelarasan Program Ihsan Food Bank.
Dalam program tersebut, rakan strategik Pasar Serbaneka Keluarga cawangan Betong, melalui wakilnya Kiu Siong Chiew, telah menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan, minuman dan produk penjagaan diri kepada pelajar yang terpilih.
Menurut KPDN Sri Aman, Program Ihsan Food Bank Siswa merupakan satu inisiatif kementerian yang bertujuan membantu mahasiswa dan pelajar yang memerlukan dengan menyalurkan bantuan makanan serta keperluan penjagaan diri.
Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi, malah membolehkan pelajar menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pembelajaran dan pencapaian akademik mereka.
“KPDN Sri Aman komited untuk memastikan kebajikan siswa sentiasa terjaga serta keperluan asas mereka terus dipenuhi agar tiada pelajar tercicir daripada mendapat sokongan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, KPDN Sri Aman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua rakan kerjasama, penyumbang dan pihak yang terlibat atas keprihatinan serta sokongan berterusan dalam menjayakan program berimpak tinggi tersebut.
Program seperti ini dilihat sebagai satu langkah murni yang bukan sahaja mengukuhkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak sekolah dan komuniti setempat, malah menyemai semangat prihatin serta budaya membantu dalam kalangan masyarakat.
Oleh Adi Safarman





