KUCHING, 23 Oktober: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) melaksanakan projek naik taraf Jalan Ma Onn dan Jalan Sungai Tengah 5 bagi meningkatkan keselamatan pengguna, melancarkan aliran trafik serta menangani masalah infrastruktur yang dibangkitkan penduduk setempat.
Pengerusi MPP, Cr Tan Kai berkata, pelaksanaan kedua-dua projek itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk memperkukuh infrastruktur jalan raya demi keselesaan dan keselamatan masyarakat.
Menurutnya, projek naik taraf Jalan Ma Onn yang bermula pada 12 Oktober lalu melibatkan kerja pelebaran dan peninggian jalan bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang menjadi kebimbangan penduduk.
“Projek ini dijangka mengambil masa kira-kira lima bulan untuk disiapkan, tertakluk kepada keadaan cuaca dan situasi di tapak pembinaan,” katanya.
Sementara itu, Tan berkata, projek naik taraf Jalan Sungai Tengah 5 yang dibiayai menerusi peruntukan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof, telah siap pada 11 September lalu.

Katanya, kerja pelebaran jalan berkenaan dilaksanakan bagi mengatasi masalah laluan sempit yang berpotensi membahayakan pengguna, selain meningkatkan akses dan keselamatan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan hari ini bersama Ahli Majlis Residen, pegawai MPP dan wakil masyarakat setempat.
Dalam lawatan itu, beliau turut menerima taklimat daripada kontraktor mengenai kerja yang telah disiapkan.
Tan menyatakan kepuasan terhadap penambahbaikan yang dilaksanakan, khususnya dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dan memudahkan pergerakan penduduk.
Dalam pada itu, MPP merakamkan penghargaan kepada Fadillah, wakil rakyat di kawasan pentadbiran majlis serta agensi kerajaan berkaitan atas sokongan dan peruntukan berterusan bagi menjayakan projek penambahbaikan infrastruktur tersebut.
Tan menegaskan bahawa MPP akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan dan masyarakat setempat bagi memastikan kemudahan awam sentiasa ditambah baik.
Katanya, usaha berterusan itu penting untuk menyediakan infrastruktur yang lebih selamat, mudah diakses dan selesa, sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan pentadbiran MPP.



