Jualan Rahmah MADANI Bergerak di Kenyalang Park esok

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Jualan Rahmah MADANI Bergerak di Dewan Komuniti Kenyalang Park, esok.

KUCHING, 23 Oktober: Penduduk sekitar Kenyalang Park berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan menerusi Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak di Dewan Komuniti Kenyalang Park, esok.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng mengalu-alukan penduduk setempat untuk mengunjungi program yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 3.00 petang itu.

Beliau berkata, program berkenaan memberi peluang kepada penduduk membeli barangan keperluan harian pada harga mampu milik, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.

Menurutnya, program seumpama itu menyediakan sokongan praktikal kepada masyarakat, khususnya keluarga yang perlu mengurus perbelanjaan dengan lebih berhemat.

Selain menawarkan penjimatan, program berkenaan turut memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu pergi jauh dari kawasan kediaman mereka.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk Kenyalang Park dan kawasan sekitarnya mengambil peluang mengunjungi program berkenaan serta menyebarkan maklumat kepada ahli keluarga, rakan dan jiran tetangga

Beliau berharap lebih ramai penduduk dapat memanfaatkan peluang tersebut bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.