DEBAK, 23 Oktober: Industri sagu dan nipah di kawasan Saribas terus diperkukuh apabila kerajaan Sarawak meluluskan pembangunan dua pusat pemprosesan bernilai RM8.5 juta selain menyalurkan bantuan input pertanian kepada 61 pekebun kecil bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata langkah tersebut memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memodenkan industri sagu dan nipah melalui penggunaan teknologi serta kemudahan pemprosesan yang lebih cekap.
Menurut beliau, di bawah inisiatif Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), seramai 61 penerima di kawasan Saribas menerima manfaat menerusi Fasa Pertama Program Pemulihan dan Pemerkasaan Pekebun Kecil Sagu serta Program Peningkatan Produktiviti Pekebun Kecil Nipah bagi Kelestarian Bekalan Nira.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengeluaran, memperkukuh daya saing produk tempatan dan membantu pengusaha mengembangkan perusahaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis agihan bantuan di Dewan Kampung Dit, semalam.
Daripada jumlah penerima, 39 pekebun kecil sagu menerima baja Fertara, manakala 22 pengusaha nipah dibekalkan peralatan menuak bagi memudahkan kerja serta meningkatkan kecekapan pengumpulan nira.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Lembaga Sagu dan Nipah (SNDB) merancang membangunkan Pusat Pemprosesan Sagu di Kampung Dit, Debak dengan peruntukan RM6 juta serta Pusat Pemprosesan Gula Apong di Kampung Buda, Spaoh bernilai RM2.5 juta melalui peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Katanya, kemudahan baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pemprosesan, menggalakkan penggunaan teknologi moden serta membuka peluang kepada pengusaha menghasilkan lebih banyak produk bernilai tambah.
Pada masa sama, Dr Mohammad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas menegaskan kepentingan pengurusan kemudahan secara sistematik bagi memastikan pelaburan kerajaan memberi pulangan optimum kepada komuniti.
Beliau turut menggesa pengusaha sagu dan nipah merancang pengeluaran mengikut kesesuaian tanah, kos operasi dan permintaan pasaran, di samping memperkukuh kerjasama dalam aspek pengeluaran, kawalan kualiti serta pemasaran.
“Kerjasama yang mantap antara pengusaha amat penting untuk memastikan industri sagu dan nipah terus berkembang sebagai pemacu ekonomi komuniti luar bandar,” ujarnya
Oleh Adi Safarman



