MTL bermula 27 Oktober, hujan lebat hingga Januari bawa risiko banjir

Facebook
WhatsApp
MTL bermula 27 Oktober, hujan lebat hingga Januari bawa risiko banjir. Foto hiasan. Foto bernama

KUALA LUMPUR, 23 Oktober: Monsun Timur Laut (MTL) bagi musim 2026/2027 dijangka bermula 27 Oktober ini dan berterusan hingga Mac tahun hadapan, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Beliau berkata semasa fasa awal MTL dari November hingga Januari depan, antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka melanda negara.

“Situasi berkenaan berisiko mengakibatkan banjir di kawasan rendah serta berhampiran sungai.

“Selain itu, tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga berisiko menyebabkan laut bergelora serta kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menjelang fasa akhir MTL dari Januari hingga Mac 2027 pula, Mohd Hisham berkata taburan hujan dijangka berkurangan terutamanya di negeri utara Semenanjung dan Sabah.

Beliau berkata keadaan itu akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi mencetuskan gelombang haba yang lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Nino sangat kuat (Super) yang sedang berlaku.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca sepanjang MTL 2026/2027 serta peka terhadap maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

Maklumat rasmi boleh diakses menerusi laman web www.met.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi atau talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638. – Bernama