BINTULU, 23 Oktober: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan khas RM2.1 juta bagi pembinaan dewan serbaguna di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu untuk menambah baik kemudahan dan keselesaan warga sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kemudahan itu dirancang dibina di kawasan parkir sedia ada dengan ruang berbumbung lebih besar bagi menampung perhimpunan, aktiviti pelajar dan pelbagai program sekolah tanpa terlalu bergantung kepada keadaan cuaca.
“Saya amat gembira kerana cadangan ini telah mendapat kelulusan peruntukan khas sebanyak RM2.1 juta daripada Kerajaan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Restu Ilmu dan Penyerahan Beg Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK Bintulu) di sini, hari ini.

Menurutnya, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menambah baik kemudahan sekolah sedia ada supaya pelajar dapat belajar dan membesar dalam persekitaran yang lebih selesa.
Johnny Pang berkata, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan di sekolah itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penyediaan kawasan parkir, laluan berbumbung, kemudahan sukan dan kerja mengecat semula bangunan sekolah.
Katanya, kerjasama antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak berkaitan penting bagi mengenal pasti keperluan dan memastikan kemudahan pendidikan terus ditambah baik.
Beliau berkata, pembangunan pendidikan bukan sekadar membina sekolah baharu, malah turut merangkumi usaha menaik taraf kemudahan di sekolah sedia ada bagi memenuhi keperluan pelajar dan guru.
Oleh Carolyne Utih





