DEBAK, 23 Oktober: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi melaksanakan projek naik taraf jalan kebun ke Kampung Bungin, Kampung Serembang dan Kampung Manggut dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas menerusi inisiatif di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata projek tersebut telah siap dilaksanakan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Betong bertindak sebagai agensi pelaksana.
Menurut beliau, majlis penyerahan projek siap telah diadakan bersama pihak DID Betong, wakil kontraktor, wakil Pejabat Daerah Kecil Spaoh, wakil Pusat Khidmat DUN Saribas serta ketua-ketua masyarakat dari tiga kampung terbabit.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kemudahan asas rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
“Peruntukan ini bukan sahaja bertujuan memperbaiki keadaan jalan kebun sedia ada, malah memastikan penduduk dapat menikmati akses yang lebih selesa, selamat dan teratur,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan akan membawa manfaat besar kepada penduduk Kampung Bungin, Kampung Serembang dan Kampung Manggut yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti pertanian, khususnya penanaman kelapa sawit.
Sebelum ini, keadaan jalan kebun yang kurang sempurna sering menjadi cabaran kepada penduduk untuk mengangkut hasil tanaman keluar dari kawasan kebun.
Dengan siapnya projek naik taraf jalan tersebut, penduduk kini dapat menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik sekali gus memudahkan urusan harian dan aktiviti ekonomi mereka.
Dr Mohammad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur luar bandar bagi memastikan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.
Oleh Adi Safarman





