KUALA LUMPUR, 22 Oktober: Sebanyak 650 peluang pekerjaan membabitkan 12 majikan bakal ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya bersempena dengan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak pada 1 dan 2 Disember ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Datuk Azman Md Hashim berkata inisiatif itu dijayakan bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak dan JKR Sarawak bagi memperluas akses kerjaya, khususnya dalam bidang teknikal.
Penganjuran HPTN kali ini katanya, melakar sejarah tersendiri apabila julung-julung kali memilih kepulauan Borneo sebagai lokasi kemuncak sambutan selepas Pulau Pinang menjadi tuan rumah pada 2024 dan Johor tahun lepas.
“Pada 2024, sambutan HPTN di Pulau Pinang mencatatkan kehadiran 10,000 pengunjung, manakala di Johor pada 2025 meningkat kepada 15,000 orang.
“Bagi penganjuran tahun ini, kita menyasarkan jumlah kehadiran yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Fokus 30 terbitan Bernama Radio, semalam.
Bertemakan “Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian”, Azman berkata sambutan edisi 2026 memberikan penekanan terhadap sinergi kemahiran, teknologi dan kelestarian demi menjamin pembangunan negara yang berkualiti serta berdaya tahan.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur bukan sahaja perlu memenuhi keperluan semasa, malah harus mengambil kira aspek mesra alam dan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Mengulas pengisian program, beliau berkata sebanyak 211 reruai pameran membabitkan pelbagai agensi dan syarikat tempatan disediakan bagi mengetengahkan teknologi, inovasi serta produk berkaitan industri teknikal.
Program dua hari itu turut menyajikan 11 sesi bicara teknikal, antaranya menampilkan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menerusi tajuk Beyond the Atmosphere: Inspiring the Next Generation dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak AI Centre Profesor Dr Patrick Then menerusi topik Placing Sarawak as a Regional Digital Leader with AI.
Beliau berkata inisiatif berkenaan berfungsi sebagai wadah strategik dalam memperkukuh jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi serta pemain industri melalui perkongsian kepakaran dan penerokaan peluang baharu.
Bagi menarik minat generasi muda, pelbagai aktiviti interaktif berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta e-sukan turut diadakan.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk Eksplorasi Sains, STEAM Challenge, The Crucible Challenge, pameran STEM interaktif, demonstrasi sains, kuiz trivia dan pertandingan robotik.
“Golongan muda merupakan kumpulan yang amat penting kerana merekalah yang bakal menjadi tenaga profesional dan pakar teknikal negara pada masa hadapan.
“Kita mahu mereka melihat bahawa bidang teknikal bukan sekadar berkaitan pengiraan, lukisan atau pembinaan, tetapi turut melibatkan kreativiti, penyelesaian masalah, teknologi digital dan usaha menangani cabaran alam sekitar,” katanya.
Azman berkata sambutan HPTN turut menjadi pentas mengiktiraf jasa dan sumbangan warga profesion teknikal yang menjadi tulang belakang kepada pemodenan negara, merangkumi pembinaan jaringan jalan raya, jambatan, bangunan dan kemudahan awam.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap penganjuran kali ini dapat menyuntik kesedaran masyarakat di samping memberi inspirasi kepada generasi pelapis untuk menceburi bidang kejuruteraan, seni bina, sains dan teknologi.
Selain pameran dan ceramah, pengunjung berpeluang mengunjungi gerai jualan industri kecil dan sederhana (IKS), sajian makanan tempatan serta menyertai cabutan bertuah.
Masuk adalah percuma dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sesawang rasmi hptn.jkr.gov.my. – Bernama





