PETRA JAYA, 21 Oktober: Sebanyak 108 projek jalan raya dan jambatan luar bandar bernilai RM6.85 bilion di Sarawak sedang dilaksanakan, dengan kontraktor berdepan tindakan termasuk penamatan kontrak sekiranya kemajuan projek tidak memuaskan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 18 projek telah siap, manakala 39 lagi sedang dalam pembinaan.
“Sebanyak 12 projek berada pada peringkat tender, sementara 39 projek lagi masih di peringkat prakontrak.
“Bagi memastikan projek ini dilaksanakan dengan berkesan, kementerian saya akan terus memantau prestasi kontraktor dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya kemajuan tidak memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, antara tindakan yang boleh diambil termasuk mengeluarkan amaran kepada kontraktor, menamatkan kontrak jika perlu serta melantik kontraktor penyelamat bagi menyiapkan projek yang terjejas.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuh akauntabiliti, melindungi wang awam dan meminimumkan kelewatan dalam penyampaian kemudahan infrastruktur kepada rakyat.
Pemantauan berterusan itu bertujuan memastikan pelaksanaan projek jalan raya dan jambatan luar bandar berjalan dengan berkesan, sekali gus membantu meningkatkan kesalinghubungan serta akses masyarakat luar bandar kepada kemudahan dan perkhidmatan asas.
Oleh Adele Rissa





