DUN: Abang Johari sifatkan cadangan batal tiga projek utama sebagai ‘politik gostan’

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menegaskan komitmen kerajaan meneruskan tiga projek utama pembangunan Kuching menjelang 2030 pada ucapan pergulungan sidang DUN Sarawak ke-19. Foto Ukas

PETRA JAYA, 21 Oktober: Cadangan menghentikan projek Transit Aliran Automasi (ART), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu dan Pelabuhan Laut Dalam Kuching disifatkan sebagai ‘politik gostan’ dan berpandangan singkat oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau menegaskan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan pelaksanaan ketiga-tiga projek berkenaan menjelang 2030 bagi menyokong pembangunan Kuching sebagai bandar bertaraf antarabangsa.

PROJEK Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1 yang merangkumi sistem ART mencatat kemajuan fizikal keseluruhan sebanyak 49 peratus setakat September 2026, dengan sasaran siap pada suku ketiga 2030.

Menurutnya, kemudahan awam perlu terus dinaik taraf bagi memenuhi keperluan sebuah bandar moden, selesa didiami dan mampan.

“Amat mendukacitakan apabila terdapat gesaan supaya projek ART, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu dan Pelabuhan Laut Dalam Kuching dihentikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pergulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.

PELABUHAN laut dalam Kuching di Tanjung Embang yang pembangunan fizikalnya dijangka bermula awal tahun depan bagi menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi di Sarawak.

Abang Johari turut bersetuju dengan pandangan ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, yang menyifatkan gesaan menghentikan ketiga-tiga projek berkenaan sebagai ‘politik gostan’.

Gesaan itu dibangkitkan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen, yang mempersoalkan keperluan meneruskan projek berkenaan serta mencadangkan supaya kerajaan menilai semula kos dan alternatif yang ada.

ILUSTRASI cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu yang dirancang dengan kapasiti awal 15 juta penumpang setahun bagi memperkukuh hubungan udara serantau dan antarabangsa.

“Saya ingin memberi jaminan kepada Dewan yang mulia ini bahawa kerajaan GPS di bawah kepimpinan saya akan terus bergerak ke hadapan dalam pelaksanaan projek-projek berkenaan menjelang 2030,” katanya.

Penegasan itu memperlihatkan pendirian kerajaan Sarawak untuk meneruskan agenda pembangunan infrastruktur utama di Kuching, termasuk pengangkutan awam, pengangkutan udara dan kemudahan pelabuhan, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan bandar itu.

Oleh Afiq Sallehi