SARATOK, 22 Oktober: Dua lelaki tempatan berusia 26 dan 30 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian getah skrap yang menyebabkan kerugian dianggarkan RM6,300 di Depo RISDA Ulu Awik.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek ditahan secara berasingan di kediaman masing-masing di Ulu Awik dan Ulu Krian, semalam.
Menurut beliau, kes itu terbongkar selepas penyelia ladang berusia 35 tahun mendapati stok getah skrap yang disimpan di depo berkenaan berkurangan ketika melakukan pemeriksaan pada Selasa lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati getah skrap di depo tersebut dipercayai dicuri, dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM6,300,” katanya dalam satu kenyataan.
Bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji menjalankan operasi sebelum menahan kedua-dua suspek di lokasi berasingan.
Hasil siasatan awal mendapati suspek pertama mengaku pergi ke lokasi kejadian bersama suspek kedua pada 15 Ogos lalu dengan menggunakan sebuah kenderaan jenis Nissan Navara berwarna hitam milik seorang lagi individu yang masih bebas.
“Mereka dipercayai mengambil empat guni berisi getah skrap melalui laluan belakang depo berkenaan sebelum menjualnya kepada seorang lelaki yang merupakan pembeli getah bergerak menggunakan lori dari Sarikei.
“Lebih mengejutkan, kedua-dua suspek turut mengaku bahawa mereka beberapa kali melakukan kegiatan sama di depo berkenaan bersama dua lagi rakan mereka.
“Kegiatan itu dipercayai dilakukan pada waktu tengah hari ketika pekerja depo sedang berehat untuk makan, sekali gus mengambil kesempatan terhadap keadaan di lokasi berkenaan,” katanya.
Wang hasil jualan getah skrap tersebut kata DSP Mathew kemudian dibahagikan sama rata kepada empat individu dan, menurut hasil siasatan, digunakan untuk membeli bekalan dadah.
Suspek pertama turut mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Polis memaklumkan status kes berkenaan telah selesai, manakala seorang lagi individu yang dipercayai terlibat masih bebas.
Oleh Adi Safarman





