KUCHING, 21 Oktober: Insiden yang dilaporkan melibatkan sebuah institusi pendidikan swasta di Kuching kini dalam siasatan polis, menurut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak.
Dalam kenyataan media hari ini, JPN Sarawak memaklumkan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan institusi pendidikan swasta yang terlibat akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

JPN Sarawak turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau berkongsi kandungan yang boleh menjejaskan privasi serta kebajikan individu terlibat.
Menurut kenyataan itu, JPN Sarawak telah berhubung dengan pihak institusi berkenaan dan bersedia memberikan sokongan psikososial kepada murid, guru serta warga institusi yang memerlukannya.





