PETRA JAYA,21 Oktober: Empat kluster pertumbuhan strategik yang dikenal pasti dalam Kajian Dasar Pelaburan Sarawak berpotensi menarik pelaburan antara RM275 bilion hingga RM330 bilion, sekali gus mewujudkan kira-kira 254,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Kluster berkenaan merangkumi industri tenaga bersih, petrokimia, industri maju serta pelancongan dan perkhidmatan, yang akan menjadi pemacu utama usaha mempelbagaikan ekonomi negeri dan menarik pelaburan bernilai tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kajian berkenaan menyediakan kerangka strategik jangka panjang untuk memperkukuh asas perindustrian negeri, meningkatkan penyertaan syarikat tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Kluster industri tenaga bersih akan memanfaatkan sumber tenaga boleh baharu Sarawak bagi membangunkan sektor pembuatan hijau, manakala kluster petrokimia memberi tumpuan kepada pengembangan industri hiliran gas, petrokimia dan oleokimia, termasuk bahan api penerbangan mampan serta aktiviti pemerangkapan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) berkata, kluster industri maju pula merangkumi sektor semikonduktor, elektronik, teknologi perubatan, farmaseutikal, aeroangkasa, bioindustri, pusat data kecerdasan buatan serta pembuatan makanan bernilai tinggi.
Katanya, kluster pelancongan dan perkhidmatan akan memberi tumpuan kepada ekopelancongan, acara perniagaan, pendidikan tinggi, perkhidmatan perubatan dan perkhidmatan digital.
Oleh Shahrul Qaizat





