PETRA JAYA, 21 Oktober: Kerajaan Sarawak akan mempergiat usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa Indonesia bagi mempercepat pembukaan semula perdagangan komersial melalui pintu sempadan Tebedu–Entikong.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, usaha itu menyusuli pengumuman Perdana Menteri menerusi Belanjawan Persekutuan 2027 untuk mempercepat pembukaan semula aktiviti perdagangan di laluan berkenaan.

“Perdagangan rentas sempadan memainkan peranan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dengan membuka peluang pasaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mewujudkan pekerjaan kepada masyarakat di kawasan sempadan.
“Pihak kementerian akan mengambil tindakan susulan dan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta pihak berkuasa Indonesia bagi memudah cara dan mempercepat pemulihan perdagangan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelebaran jalan akses menuju ke sempadan bagi menyokong kelancaran pergerakan dan aktiviti perdagangan di kawasan berkenaan.
“Kerajaan negeri juga akan meneruskan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi mengusahakan naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu serta menambah baik hubungan pengangkutan rentas sempadan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan sempadan lain termasuk Biawak dan Telok Melano–Temajuk turut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai pusat perdagangan, logistik dan pelancongan.
“Bagaimanapun, pembangunan kawasan berkenaan memerlukan kemudahan perhubungan yang lebih baik, prasarana sempadan bersesuaian serta kerjasama erat antara agensi berkaitan.
“Sehubungan itu, kerajaan Sarawak telah menugaskan penyediaan Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak yang dijangka siap pada suku keempat tahun ini.
“Kajian tersebut akan mengenal pasti projek pembangunan yang perlu diberi keutamaan, termasuk cadangan menaik taraf ICQS Biawak, dengan pelaksanaan dibuat secara berfasa tertakluk kepada peruntukan dan kelulusan berkaitan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Pontianak, Indonesia yang disasarkan mula beroperasi pada 2027 akan membantu memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kerjasama perniagaan antara Sarawak dengan Kalimantan Barat.
Untuk rekod, Malaysia dan Indonesia dilaporkan semakin hampir membuka semula perdagangan Tebedu–Entikong pada September lalu selepas mencapai persetujuan mengenai aspek peraturan, dengan beberapa urusan pentadbiran masih perlu diselesaikan.
Terbaharu, menerusi Belanjawan Persekutuan 2027 pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan usaha mempercepat pembukaan semula laluan perdagangan berkenaan.
Oleh Masrin Affirah





