DUN: Sarawak pertimbang bantuan teknikal e-Invois kepada peniaga

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang DUN, hari ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA, 21 Oktober: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan akan meneroka bentuk bantuan praktikal, termasuk klinik teknikal dan sokongan digital, bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menangani cabaran pelaksanaan sistem e-Invois.

Menterinya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata usaha itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan persatuan perniagaan.

Beliau berkata, kementerian mengakui terdapat cabaran yang dihadapi sesetengah perniagaan dalam melaksanakan sistem berkenaan, walaupun pelaksanaannya merupakan perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun perkara ini di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kementerian saya akan meneroka bantuan praktikal, termasuk klinik teknikal dan sokongan digital, dengan kerjasama LHDNM, SDEC dan persatuan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak pada persidangan hari kelapan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Pelaksanaan e-Invois secara berperingkat memasuki fasa baharu pada 2026, termasuk melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta hingga RM5 juta mulai 1 Januari 2026. Perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta pula dijadualkan memasuki fasa pelaksanaan mulai 1 Julai 2026, tertakluk pada ketetapan dan pengecualian yang ditetapkan kerajaan.

Di Sarawak, usaha memberi pendedahan kepada peniaga mengenai sistem berkenaan turut dilaksanakan melalui program kesedaran dan latihan.

Pada Julai lalu, program transformasi digital dan e-Invois di Miri mendedahkan usahawan kepada proses pendaftaran, pengurusan serta penggunaan sistem itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian turut memberi tumpuan kepada usaha membantu pengusaha pertanian dan kraftangan tradisional meningkatkan pemprosesan, pembungkusan, pensijilan serta kualiti produk.

“Usaha kami akan memberi tumpuan kepada membantu pengusaha pertanian dan kraftangan tradisional meningkatkan aspek pemprosesan, pembungkusan, pensijilan dan kualiti produk, di samping memperluas akses pasaran, khususnya ke Singapura dan Brunei”, ujarnya.

Usaha itu juga merangkumi peluasan akses pasaran, khususnya ke Singapura dan Brunei, bagi membantu pengusaha tempatan meningkatkan daya saing serta mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, berhubung cadangan pembinaan Anjung Usahawan Kabong, beliau memaklumkan bahawa semakan tapak sedang dijalankan, dengan Jalan Pantai Tanjung Kembang dipertimbangkan sebagai lokasi yang lebih sesuai.

Oleh Shikin Mahmud