PETRA JAYA, 21 Oktober: Sarawak sedang membangunkan SelectSarawak, sebuah platform digital bersepadu bagi memudahkan urusan pelaburan menerusi penyelarasan proses pertanyaan, penilaian projek, kelulusan, pelesenan dan pemantauan pelaksanaan projek.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata platform itu bertujuan meningkatkan ketelusan serta memperkukuh penyelarasan sepanjang proses pelaburan di Sarawak.
“SelectSarawak akan merangkumi pelbagai peringkat perjalanan pelabur, termasuk pertanyaan, penilaian projek, kelulusan, pelesenan, pemantauan pelaksanaan dan khidmat susulan.
“Prosedur yang cekap dan boleh dijangka sama pentingnya kepada pelabur seperti insentif dan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, perniagaan memerlukan peraturan yang jelas, keputusan dalam tempoh yang munasabah serta mekanisme praktikal untuk menyelesaikan isu pelaksanaan.

Sehubungan itu, kementeriannya akan mengenal pasti halangan dan menambah baik proses berkaitan pelaburan, perdagangan, industri serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, InvestSarawak turut akan memperkukuh peranannya sebagai pusat sehenti bagi menyelaras kelulusan, membuat susulan terhadap projek serta membantu menyelesaikan isu yang dihadapi pelabur.
“Dapatan tinjauan 2026 oleh Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) menunjukkan bahawa 62 peratus responden mengalami perubahan ketara dalam peraturan yang menjejaskan operasi mereka di Malaysia dalam tempoh dua tahun lalu,” ujarnya.
Menurutnya, tinjauan itu turut mengenal pasti konsistensi dasar dan kelulusan yang lebih pantas sebagai antara keutamaan untuk menambah baik persekitaran perniagaan.
Beliau menegaskan bahawa akauntabiliti, ketelusan dan integriti akan terus menjadi keutamaan, selain penggunaan data prestasi untuk menilai keberkesanan pembaharuan yang dilaksanakan.
Oleh Adele Rissa





