BINTANGOR, 21 Oktober: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong memperkukuh kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, selain memastikan aspek keselamatan sepanjang penganjuran Pesta Meradong dan Perlumbaan Bot Laju yang dijadualkan pada 30 Oktober hingga 1 November ini berada pada tahap terbaik.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, persiapan awal dan penyelarasan tugas amat penting bagi memastikan kelancaran operasi keselamatan, khususnya ketika berlangsungnya program yang melibatkan kehadiran orang ramai.
Katanya, seluruh warga IPD Meradong perlu sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing, di samping meningkatkan kehadiran polis di lapangan bagi memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan setempat.
“Kesiapsiagaan pegawai dan anggota perlu sentiasa diberikan keutamaan, khususnya dalam menghadapi PRN Sarawak Ke-13 serta persiapan keselamatan sempena Pesta Meradong dan Perlumbaan Bot Laju yang dijadualkan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November 2026.
“Setiap pegawai dan anggota juga perlu meningkatkan kehadiran polis di lapangan serta memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan penuh keikhlasan, kejujuran, dedikasi, profesionalisme dan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Peringkat IPD Meradong yang berlangsung di Dewan Serbaguna IPD Meradong, hari ini.


Perhimpunan tersebut turut dihadiri tujuh Pegawai Kanan Polis (PKP), 36 Pegawai Rendah Polis (PRP) dan 14 Pegawai Awam (PA).
Mengulas perkembangan keselamatan daerah, Tansli berkata, indeks jenayah keseluruhan IPD Meradong bagi tempoh Januari hingga September 2026 mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pencapaian tersebut tidak seharusnya menyebabkan pegawai dan anggota berpuas hati, sebaliknya perlu dijadikan dorongan untuk terus mempertingkatkan usaha pencegahan serta pembanterasan jenayah.
“Penurunan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 50 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2026 perlu dijadikan dorongan kepada semua pegawai dan anggota polis untuk terus mempergiat usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah.
“Tumpuan perlu terus diberikan terhadap kegiatan perjudian haram, penipuan dalam talian atau scam serta penyalahgunaan dadah yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pemeliharaan integriti sebagai asas utama dalam pelaksanaan tugas kepolisan.
Katanya, setiap warga polis perlu menjauhi sebarang bentuk salah laku yang boleh mencemarkan imej pasukan dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi keselamatan.
“Setiap warga polis hendaklah sentiasa menjauhi amalan salah guna kuasa, rasuah, penyalahgunaan dadah serta sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan integriti dan imej pasukan,” ujarnya.
Selain memberikan penekanan terhadap disiplin dan tanggungjawab, Tansli turut mengingatkan pegawai dan anggota polis supaya tidak mengabaikan kebajikan keluarga, khususnya aspek pendidikan anak-anak.
Menurutnya, keseimbangan antara tanggungjawab kerjaya dan kehidupan berkeluarga penting dalam memastikan kesejahteraan diri serta mengekalkan motivasi ketika menjalankan tugas.
Pada perhimpunan tersebut, seramai 54 penerima menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Pengurusan, Datuk Mohamad Zainal Abdullah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan perkhidmatan mereka.
Oleh Earl Anek





