BINTANGOR, 21 Oktober: Kecekapan dan kesiapsiagaan anggota bomba dalam menghadapi operasi menyelamat di kawasan tinggi terus diberikan perhatian menerusi latihan khusus yang dilaksanakan di Menara Latihan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor semalam.
Seramai enam anggota bomba menyertai Kawad Operasi Menyelamat di Aras Tinggi yang diadakan menerusi pelaksanaan Sistem Tugasan Balai (STB) sebagai sebahagian daripada latihan meningkatkan kemahiran operasi.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, latihan yang bermula dari 9.30 pagi hingga 11.10 pagi tersebut memberi tumpuan kepada persediaan anggota bomba dalam melaksanakan tugasan menyelamat di aras tinggi.

“Latihan ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan STB yang memberikan penekanan terhadap kemahiran dan kesiapsiagaan anggota dalam operasi menyelamat di aras tinggi.
“Melalui latihan seperti ini, anggota dapat memperkukuh pengetahuan serta meningkatkan keyakinan ketika berhadapan dengan situasi kecemasan yang memerlukan tindakan menyelamat di kawasan tinggi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau yang turut bertindak sebagai fasilitator berkata, latihan tersebut menjadi sebahagian daripada usaha memastikan anggota sentiasa bersedia melaksanakan tugas dengan berkesan.
“Latihan secara berterusan penting bagi memastikan setiap anggota mempunyai tahap kesiapsiagaan yang baik serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan teratur apabila berdepan situasi kecemasan sebenar,” katanya.
Oleh Earl Anek




