Kemas kini: Serangan di sekolah, guru wanita cedera di tangan

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 21 Oktober: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dilaporkan membawa mercun dan mencederakan seorang guru wanita menggunakan kapak dalam kejadian di sebuah sekolah swasta di sini pagi tadi.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, berkata guru wanita yang diserang mengalami kecederaan berupa luka pada bahagian tangan.

“Maklumat awal mendapati bahawa kira-kira 8.03 pagi, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima maklumat melalui talian MERS 999 berhubung seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan membawa mercun dan mencederakan seorang guru menggunakan kapak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.

“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mendapatkan bukti berkaitan,” katanya.

Saifullizan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu bagi menghormati proses siasatan dan menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.