DUN: Cecair vape disyaki mengandungi bahan terlarang bernilai RM1.63 juta dirampas

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah ketika menyampaikan ucapan penggulungan berhubung isu penyalahgunaan bahan terlarang dalam cecair vape pada persidangan DUN Sarawak Ke-19.

PETRA JAYA, 20 Oktober: Sebanyak 9,054.3 mililiter cecair vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang dirampas di Sarawak bagi tempoh Januari hingga September 2026, dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.63 juta.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, sebanyak 1,543 program pencegahan dan advokasi berkaitan penyalahgunaan dadah serta cecair vape telah dilaksanakan dalam tempoh yang sama bagi membendung penyalahgunaan bahan terlarang, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

RAJAH menunjukkan statistik rampasan cecair vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang serta program pencegahan, advokasi dan intervensi berkaitan penyalahgunaan dadah dan cecair vape di Sarawak bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Program berkenaan dilaksanakan menerusi One Stop Committee Menangani Isu Dadah dan Substance (OSC MIDS), dengan penglibatan sekolah menengah, sekolah rendah, komuniti dan keluarga.

Sementara itu, ketika menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian, berhubung keperluan menyediakan kemudahan rawatan ketagihan di Lawas, Fatimah memaklumkan bahawa sebanyak 26 Pusat Sehenti Rawatan Ketagihan (OSCA) telah ditubuhkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di klinik-klinik kesihatan di seluruh negeri, termasuk Klinik Kesihatan Lawas.

Penubuhan pusat berkenaan merupakan antara usaha untuk memperluas akses kepada rawatan dan pemulihan ketagihan, selain menggalakkan individu yang berdepan dengan masalah ketagihan mendapatkan bantuan lebih awal.

Oleh Afiq Sallehi