MIRI, 17 Oktober: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual bukan secara fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Desa Pujut di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 15 Oktober sekitar 3.20 petang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1.15 tengah hari ketika mangsa berjalan kaki pulang dari sekolah sebelum diekori suspek yang menaiki sebuah kenderaan.
“Suspek yang didakwa berada dalam keadaan separuh bogel kemudian menghampiri mangsa dan menawarkan wang sebagai balasan untuk melakukan hubungan seks.
“Bagaimanapun, mangsa bertindak pantas menyelamatkan diri dengan berlari ke rumah kenalannya yang terletak berhampiran sebelum membuat laporan polis bersama keluarganya.
Susulan siasatan dan maklumat daripada orang awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya menahan suspek berusia 35 tahun di Marina ParkCity, di sini sekitar 2.00 petang, semalam.
“Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek serta kenderaan yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Suspek yang mempunyai satu rekod kesalahan jenayah kini direman selama tiga hari sehingga 20 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd Farhan turut menggesa mana-mana individu yang mungkin menjadi mangsa suspek dengan modus operandi sama supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan jenayah dan akan memastikan suspek yang ditangkap dibawa ke muka pengadilan.
Oleh Liong Chai Ling





