Lelaki rugi RM363,887 ditipu dalam urusan pembelian lima rumah lelong

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

MIRI, 17 Oktober: Seorang lelaki mengalami kerugian RM363,887.49 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan dalam urusan pembelian lima rumah lelong di Taman Abadi, Kuching.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 15 Oktober lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis, pengadu berusia 56 tahun itu mengenali seorang lelaki menerusi urusan kerja dan persahabatan sejak kira-kira dua tahun lalu.

“Pada November 2025, pengadu berhasrat membeli rumah untuk kegunaan keluarga di Kuching sebelum suspek didakwa menawarkan lima rumah di Taman Abadi yang kononnya merupakan rumah lelong bank pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.

“Suspek turut menawarkan diri untuk menguruskan keseluruhan proses pembelian, termasuk penyediaan perjanjian jual beli (SPA) dan urusan pemindahan hak milik.

“Pengadu mendakwa telah membuat beberapa pembayaran secara berperingkat dari November 2025 hingga Januari 2026 bagi tujuan pembelian rumah, deposit, pengukuran tanah serta bayaran berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Farhan berkata, urusan pembelian berkenaan didakwa tidak diselesaikan seperti yang dijanjikan. Pengadu juga masih belum menerima dokumen lengkap yang membuktikan pemilikan hartanah terbabit meskipun berulang kali menghubungi suspek untuk mendapatkan penjelasan.

“Polis kini menjalankan siasatan bagi mengesahkan status sebenar hartanah yang ditawarkan, aliran wang yang dibayar serta penglibatan pihak berkaitan dalam urusan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berurusan dalam pembelian hartanah, khususnya apabila ditawarkan rumah lelong pada harga yang tidak munasabah.

Beliau turut mengingatkan bakal pembeli supaya menyemak status hartanah melalui saluran rasmi, memastikan kesahihan dokumen serta mendapatkan khidmat peguam bertauliah sebelum membuat sebarang pembayaran.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memindahkan wang ke akaun pihak ketiga tanpa pengesahan sewajarnya. Semua dokumen dan bukti transaksi perlu disimpan sebagai rujukan sekiranya berlaku pertikaian atau penipuan.

Semakan nombor telefon dan akaun bank yang disyaki terlibat boleh dilakukan menerusi portal Semak Mule di http://semakmule.rmp.gov.my atau aplikasi Check Scammers CCID sebelum sebarang transaksi kewangan dibuat.

Oleh Liong Chai Ling