Hampir berputus asa ketika COVID-19, usahawan tetap pertahan perniagaan gelato tempatan

Facebook
WhatsApp
GELATO keluaran Lisse yang menggabungkan teknologi sendiri dengan ramuan berkualiti tinggi, termasuk bahan tempatan seperti kanji sagu.

PETRA JAYA, 17 Oktober: Kekangan pengkomersialan dan logistik ketika pandemik COVID-19 pernah membuatkan seorang usahawan Sarawak hampir berputus asa dalam usaha membangunkan perniagaan gelato tempatan.

Namun, usaha yang telah dimulakan mendorong beliau untuk meneruskan perniagaan itu, sekali gus membangunkan produk berasaskan teknologi sendiri dengan gabungan bahan tempatan dan ramuan berkualiti tinggi.

Pengarah Urusan Neprobio-Tech Sdn. Bhd., Syed Ahmad Tarmizi, 36, berkata Lisse merupakan jenama produk gelato dan aiskrim lembut pertama syarikat itu dalam industri makanan, selain perniagaan terasnya yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa, termasuk penukaran sisa kepada tenaga dan makanan haiwan.

PELBAGAI pilihan perisa gelato Lisse termasuk pistachio, matcha, Biscoff, pisang, keju dan gula apong, yang menggabungkan pilihan popular dengan cita rasa tempatan.

Menurutnya, penghasilan gelato dan aiskrim lembut Lisse menggunakan serbuk asas yang dibangunkan menerusi teknologi sendiri serta mesin gelato yang ditempah khas mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi menghasilkan produk dengan tekstur dan kualiti yang diinginkan.

Beliau yang memiliki ijazah dalam Sains Bioperubatan berkata, idea membangunkan produk berkenaan turut didorong oleh potensi sumber semula jadi tempatan, khususnya buah-buahan yang boleh diproses menjadi produk bernilai tambah dengan jangka hayat lebih panjang.

“Rasa nak berputus asa memang ada, terutama ketika COVID-19. Ketika itu, banyak kekangan dari segi pengkomersialan dan logistik.

“Tetapi, apabila sudah sampai ke tahap itu, kenapa perlu berputus asa?” Katanya ketika ditemui di gerai Lisse, antara gerai usahawan tempatan yang beroperasi sementara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sempena Persidangan DUN Sarawak Ke-19, kelmarin. 

Syed berkata antara cabaran utama ialah mendapatkan bahan mentah tempatan secara konsisten, selain peningkatan kos bahan asas dan logistik.

Katanya, bekalan susu tempatan masih terhad dan perlu diimport dari luar, manakala buah-buahan diperoleh daripada petani tempatan untuk digunakan dalam penghasilan produk.

Beliau berkata Lisse turut menawarkan perisa berasaskan bahan tempatan seperti pisang, gula apong selain perisa lain termasuk keju, pistachio, matcha dan Biscoff.

Menurutnya, gelato perisa pistachio antara produk yang mendapat sambutan, manakala Honey Conflakes mendapat maklum balas daripada pelanggan yang menyatakan perisa itu mengingatkan mereka kepada kenangan menyambut perayaan.

Dalam membangunkan perniagaan itu, Syed berkata pengorbanan dari segi masa, tenaga dan kewangan diperlukan, terutama bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), membina jenama serta menghasilkan teknologi sendiri.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam industri itu berkata cabaran lain termasuk melatih pekerja dan menyeragamkan operasi bagi memenuhi keperluan pengurusan premis di pusat beli-belah yang turut menempatkan jenama antarabangsa.

Mengulas perancangan masa depan, Syed berkata pihaknya berhasrat membangunkan ekosistem yang menghubungkan pengeluaran bahan mentah, pengumpulan dan pemprosesan hasil tempatan sebelum digunakan dalam penghasilan produk.

Katanya, pusat pengumpulan dan pemprosesan itu masih dalam perancangan dan menjadi antara langkah penting sebelum pembukaan cawangan baharu dipertimbangkan.

Usaha itu diharap dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import dengan mendapatkan bahan asas penghasilan gelato secara langsung daripada petani dan pengusaha kecil tempatan, khususnya di kawasan luar bandar.

Gerai Lisse kini terletak di tingkat dua The Spring, Kuching, unit KF10, bersebelahan John’s Pie, dan beroperasi setiap hari dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Oleh Afiq Sallehi