MIRI, 17 Oktober: Kebakaran dapur gas di sebuah rumah di Taman Permai, Bandar Baru Permyjaya, di sini berjaya dipadamkan sendiri oleh penghuni menggunakan kain basah sebelum ketibaan pasukan bomba, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, PBT II Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.24 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Lutong dikejarkan ke lokasi dan tiba pada 9.35 malam.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran pada dapur memasak sudah dipadamkan oleh penghuni rumah menggunakan kain basah,” katanya di sini.
Henry berkata, anggota bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan keadaan selamat serta tiada risiko kebakaran berulang atau merebak.
Operasi itu tamat 9.50 malam.
Oleh Liong Chai Ling




