KUCHING, 16 Oktober: Seramai 74 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM) di sekitar Kuching pada 15 hingga 16 Oktober, selain dua premis disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian.
Operasi menerusi Ops Mahir dan Ops Sapu itu melibatkan pemeriksaan di lapan lokasi berasingan, termasuk premis kediaman, rumah teres dan bilik sewa yang disyaki menempatkan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.
Menurut kenyataan JIM Sarawak hari ini, seramai 30 pegawai dan anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi berkenaan yang menyaksikan 79 individu diperiksa.

Daripada jumlah itu, 74 warga asing ditahan terdiri daripada 45 lelaki dan 29 wanita.
Jumlah tangkapan tersebut membabitkan 63 warga Indonesia, 10 warga China dan seorang warga Kemboja.
Dalam operasi sama, dua premis turut disyaki menjalankan aktiviti penipuan dalam talian dengan beberapa unit komputer serta telefon bimbit dirampas bagi membantu siasatan lanjut.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pelanggaran Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta peruntukan berkaitan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Pihak imigresen turut mengeluarkan dua Borang 29 sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan.
JIM Sarawak menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran dan aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang di negeri ini.
Sehubungan itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.





