
PETRA JAYA, 15 Oktober: Pengukuran dan pewartaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 89,904 hektar di kawasan Katibas diminta diteruskan secara konsisten sehingga selesai bagi memberikan kepastian hak tanah kepada masyarakat setempat.
Lidam Assan (GPS-Katibas) berkata pengukuran tanah NCR di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) bukan sekadar menentukan sempadan atau mengeluarkan dokumen hak milik, malah berpotensi membuka peluang pembangunan ekonomi kepada penduduk.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
“Pengiktirafan hak tanah yang jelas membolehkan masyarakat merancang penggunaan tanah secara produktif, termasuk membangunkan aktiviti pertanian dan projek ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan keluarga, tertakluk kepada undang-undang serta peraturan berkuat kuasa”, katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya potensi tanah dan sumber tempatan dimanfaatkan bagi membangunkan kegiatan ekonomi yang mampan, termasuk pengeluaran madu hutan melalui inisiatif Satu Produk Satu Industri dengan jenama ‘Madu Hutan Katibas (Katibas Forest Honey)’.
Katanya, usaha membangunkan jenama madu hutan itu berpotensi membuka peluang pendapatan melalui aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran madu berkualiti, di samping memastikan sumber hutan digunakan secara bertanggungjawab.
Oleh Shikin Mahmud





