DUN: Hamzah cadang agensi khas selaras projek RTP, Baleh mahu keutamaan pembangunan luar bandar

Facebook
WhatsApp
DATUK Hamzah Ibrahim (GPS-Stakan) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN, hari ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA, 15 Oktober: Cadangan penubuhan agensi khas bagi menyelaras pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) serta keperluan memberi keutamaan kepada infrastruktur asas di kawasan pedalaman dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Datuk Hamzah Ibrahim (GPS-Stakan) mencadangkan supaya kerajaan mengkaji penubuhan agensi khas untuk mengurus keseluruhan kitaran pelaksanaan projek RTP, termasuk proses tender, penyerahan tapak dan pemantauan kerja di lapangan.

Menurutnya, penyelarasan melalui agensi khusus itu dapat mengurangkan kerenah birokrasi, memendekkan tempoh pelaksanaan projek dan memastikan peruntukan kerajaan digunakan dengan berkesan.

Sementara itu, Nicholas Kudi Jantai (GPS-Baleh) meminta supaya peruntukan pembangunan luar bandar bagi kawasan itu ditentukan berdasarkan keluasan kawasan, keadaan infrastruktur, jumlah penduduk dan keperluan setiap komuniti.

Beliau berkata, bentuk muka bumi yang mencabar serta penempatan rumah panjang yang berjauhan menjadikan projek berskala kecil dan sederhana penting bagi penduduk Baleh.

Menurutnya, keutamaan RTP di kawasan itu pada 2027 dicadangkan meliputi pembinaan dan pembaikan jalan kampung, laluan masuk ke rumah panjang, jambatan dan jeti sungai, selain penaiktarafan dewan serbaguna serta kemudahan komuniti.

Beliau turut mencadangkan supaya projek berkaitan kemudahan sukan, rekreasi, sistem saliran, kebersihan persekitaran dan sokongan kepada aktiviti pertanian serta pemasaran hasil diberi perhatian.

NICHOLAS Kudi Jantai (GPS-Baleh) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN, hari ini. Foto UKAS.

Nicholas berkata, peruntukan RTP negeri bagi 2026 dilaporkan berjumlah RM350 juta, manakala siling RM900 juta diluluskan bagi pelaksanaan 4,534 projek RTP di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Beliau turut berharap geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Biro Wanita, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kelab serta persatuan tempatan dapat diteruskan mengikut garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.

Kedua-dua wakil rakyat itu menyentuh perkara berkenaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Oleh Shikin Mahmud