PUTRAJAYA, 15 Oktober: Waris empat kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak akan mula menerima bayaran pencen terbitan bulanan pada 21 Oktober ini sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan kebajikan keluarga mangsa terus terbela.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menguruskan faedah pencen terbitan serta bantuan kewangan sewajarnya kepada waris mangsa secara menyeluruh dan berhemah.
Beliau berkata keseluruhan bayaran pukal yang layak diterima waris merangkumi Gantian Cuti Rehat (GCR), Ganjaran Terbitan, Bantuan Mengurus Jenazah dan Ex-Gratia Kematian.
“Alhamdulillah… kebajikan keluarga empat kakitangan KKM yang terkorban dalam nahas Long Lellang terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dan KKM,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Dzulkefly berkata cadangan kenaikan pangkat secara anumerta kepada keempat-empat petugas kesihatan juga telah diperakukan sebagai tanda penghormatan tertinggi terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
“Semoga urusan ini dapat meringankan beban harian keluarga yang ditinggalkan. Salam Takziah buat seluruh keluarga mangsa. Doa kami tetap dititipkan…,” katanya.
Terdahulu, KKM dalam kenyataan memaklumkan jumlah keseluruhan bayaran pukal yang telah diterima oleh setiap mangsa adalah tidak kurang daripada RM130,000 merangkumi GCR, Ganjaran Terbitan, Bantuan Mengurus Jenazah dan Ex-Gratia Kematian.
KKM turut menjelaskan bahawa pencen terbitan akan dibahagikan mengikut kadar syer kepada waris yang layak manakala pembahagian syer akan disasar bagi memastikan setiap tanggungan yang berhak menerima bahagian masing-masing berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang pada 8 September lepas mengorbankan lima individu termasuk empat petugas kesihatan yang sedang menjalankan tugas rasmi bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman.- Bernama




