SIBU, 15 Oktober: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan membuka kaunter kutipan hasil bergerak di Pasar Tamu Sibu Jaya pada Sabtu ini bagi memudahkan penduduk setempat menjelaskan cukai taksiran dan tunggakan masing-masing.
Menurut kenyataan MDLBS, kaunter berkenaan akan beroperasi dari 8.00 pagi hingga 3.00 petang, dengan waktu rehat dari 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang.
Inisiatif itu bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk Sibu Jaya untuk menyelesaikan urusan berkaitan cukai taksiran tanpa perlu hadir ke pejabat MDLBS.
Selain pembayaran cukai taksiran, kaunter berkenaan turut menyediakan perkhidmatan mengemas kini maklumat pegangan, pertukaran nama atau alamat serta pendaftaran e-Billing.
Penduduk yang menjelaskan tunggakan cukai taksiran juga berpeluang menerima hadiah menarik yang disediakan.
Dalam pada itu, MDLBS turut menggalakkan orang ramai membuat pembayaran secara dalam talian menerusi platform rasmi yang disediakan.
Sehubungan itu, penduduk Sibu Jaya diseru memanfaatkan kemudahan kaunter bergerak berkenaan bagi memastikan urusan cukai taksiran dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan cepat.
Oleh Akun Giman




