SPAOH, 15 Oktober: Penduduk Kampung Hulu Serembang gempar apabila seekor ular sawa sepanjang kira-kira 1.9 meter ditemukan berada di dalam sebuah sangkar ayam, dipercayai selepas membaham ternakan, petang tadi.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.15 petang.
Pengadu memaklumkan bahawa rakannya terserempak dengan kelibat reptilia berkenaan ketika memeriksa kawasan sangkar ayam di kediamannya.
Susulan laporan tersebut, seramai empat anggota Skuad Bravo APM Spaoh bersama peralatan khas menangkap ular segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.
Setibanya di lokasi, anggota penyelamat melakukan pemeriksaan sebelum mengesan ular sawa sepanjang kira-kira 1.9 meter berada di dalam reban berkenaan.
Ular itu dipercayai sukar bergerak akibat kekenyangan selepas membaham ternakan di dalam sangkar tersebut.
Anggota APM mengambil masa beberapa minit untuk mengawal keadaan sebelum berjaya menangkap ular berkenaan dengan berhati-hati menggunakan teknik menjerut, tanpa mencederakannya.
Ular sawa itu kemudiannya dibawa ke kawasan selamat sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya yang jauh dari kawasan penempatan awam bagi mengelakkan ancaman terhadap keselamatan penduduk.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak cuba menangkap atau mendekati reptilia berbahaya tanpa bantuan pihak berpengalaman.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada APM Daerah Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman




