
PETRA JAYA, 15 Oktober: Kerajaan Sarawak disaran memperkenalkan Program Bantuan Lesen Memandu Bersubsidi khusus untuk golongan B40 bagi membantu mereka memiliki lesen memandu yang sah, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan.
Datuk Hamzah Brahim (GPS-Stakan) berkata, inisiatif tersebut penting khususnya kepada golongan belia yang memerlukan lesen memandu untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor pengangkutan dan ekonomi gig.
Menurutnya, kos mendapatkan lesen memandu boleh menjadi antara kekangan kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki lesen yang sah.
“Saya mencadangkan pelaksanaan Program Bantuan Lesen Memandu Bersubsidi khusus untuk golongan bersasar B40 di Sarawak.
“Bantuan ini amat kritikal bagi membantu anak-anak muda kita memiliki lesen memandu yang sah, sekali gus membuka ruang pekerjaan dan perniagaan yang lebih luas dalam sektor pengangkutan mahupun ekonomi gig,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, di sini, hari ini.
Hamzah berkata, pemilikan lesen memandu yang sah juga penting bagi membolehkan golongan berkenaan memenuhi syarat kelayakan untuk menikmati bantuan kerajaan tertentu.
Katanya, antara inisiatif yang memerlukan lesen memandu sah ialah program subsidi bahan api BUDI95 dan BUDI Diesel.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan berkenaan dapat dipertimbangkan bagi membantu golongan B40, khususnya belia, meningkatkan mobiliti dan memperluas peluang ekonomi mereka.
Oleh Norman B





