DUN: Tellian cadang tubuh DUN Belia Sarawak

Facebook
WhatsApp
ROYSTON Valentine (GPS-Tellian) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN Sarawak, hari ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA, 15 Oktober: Penubuhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Sarawak dicadangkan sebagai platform rasmi untuk golongan muda menyuarakan pandangan serta menyumbang kepada pembangunan negeri.

Royston Valentine (GPS-Tellian) berkata, platform itu juga berperanan mempersiapkan pemimpin pelapis melalui penglibatan belia dalam perbincangan dasar dan isu pembangunan Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

“Model DUN Belia Sarawak boleh dirangka berdasarkan konsep Parlimen Belia Malaysia serta model parlimen belia yang dilaksanakan di negara lain, termasuk United Kingdom, New Zealand, Australia dan Ireland”, katanya.

Beliau berkata, perwakilan berdasarkan kawasan DUN boleh dipertimbangkan bagi memastikan suara belia dari kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman turut diberikan perhatian.

Katanya, platform berkenaan berpotensi memupuk perpaduan, membangunkan kepimpinan belia dan menghasilkan cadangan praktikal dalam pelbagai bidang pembangunan.

Bagi memastikan keberkesanannya, beliau mencadangkan supaya setiap usul yang dibentangkan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk mendapatkan maklum balas serta tindakan susulan yang jelas.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan golongan muda memainkan peranan lebih aktif sebagai rakan kerajaan dalam membentuk masa depan Sarawak.

Oleh Shikin Mahmud