BINTULU, 15 Oktober: Gerakan koperasi di Malaysia berpotensi memperluas aktiviti perniagaan dengan memanfaatkan rangkaian keanggotaan yang mencecah 7.3 juta bagi mengenal pasti keperluan pasaran dan membangunkan perkhidmatan baharu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Mohd Zaib Mat Yunus berkata, negara mempunyai 16,468 koperasi berdasarkan statistik tahun sebelumnya, sekali gus menyediakan ruang untuk gerakan itu meneroka peluang perniagaan berasaskan keperluan anggota dan komuniti.
Menurutnya, koperasi perlu lebih peka terhadap perubahan masyarakat, termasuk corak pekerjaan, mobiliti penduduk dan gaya hidup, bagi mengenal pasti permintaan terhadap barangan serta perkhidmatan yang masih belum dipenuhi.

“Apabila masyarakat berubah, keperluan turut berubah.
“Apabila muncul keperluan yang belum dipenuhi, di situlah bermulanya sebuah peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Ilmu “Peluang Dekat, Pasaran Nyata’ di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mohd Zaib berkata, antara bidang yang boleh dipertimbangkan ialah perkhidmatan penjagaan warga emas, khususnya melalui penyediaan kemudahan yang profesional dan mudah diakses oleh masyarakat.
Tambahnya, IKMa telah berbincang dengan dua rakan strategik mengenai usaha melibatkan koperasi dalam penubuhan rumah penjagaan warga emas, termasuk melalui penyediaan latihan dan bimbingan.
Beliau memberitahu, koperasi juga perlu membawa idea perniagaan yang dikenal pasti ke peringkat perbincangan lembaga dan mesyuarat agung bagi menilai kesesuaiannya dengan keperluan anggota serta potensi pasaran.
Oleh Carolyne Utih





