KOTA SAMARAHAN, 15 Oktober: Polis Kota Samarahan telah menjalankan operasi bersepadu bagi membanteras kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di sepanjang Lebuh Raya Kota Samarahan–Tabuan Jaya dari 11.00 malam hingga 3.00 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Kota Samarahan serta anggota daripada pelbagai cawangan lain.
Sepanjang operasi selama empat jam itu, sebanyak 122 kenderaan dan 135 individu telah diperiksa.
Polis mengeluarkan sebanyak 18 saman trafik menggunakan borang PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis benzodiazepin (Benzo) dan metamfetamina (Meth).
Selain itu, dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 34 tahun turut ditahan selepas didapati positif alkohol melalui ujian saringan.
Mohd Irwan Hafiz mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Oleh Connie Chieng




