KUCHING, 15 Oktober: Peluang perniagaan untuk usahawan muda perlu diberi ruang yang adil, termasuk dalam penyertaan bazar, festival makanan dan acara anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, kementerian akan memperjuangkan kepentingan usahawan muda yang berdepan kesukaran mendapatkan tapak perniagaan, terutama apabila peluang dalam acara tertentu didakwa hanya diberikan kepada pihak tertentu
“Keadaan itu boleh mengecewakan usahawan yang mahu memulakan perniagaan, tetapi mendapati tapak yang tersedia sudah habis atau peluang penyertaan telah diatur lebih awal.
“Kita mesti dilihat memperjuangkan mereka. Apa-apa masalah yang kita ada, kita boleh bawa ke atas. Di mana kami boleh membantu, kami akan bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berinteraksi dengan usahawan muda pada majlis perasmian Hab SYStartUP di Pejabat Persatuan Usahawan SYStartUP Sarawak di Jalan Kulas Tengah di sini, hari ini.
Abdul Karim menegaskan, beliau akan membawa isu berkaitan peluang tapak perniagaan kepada pihak berkuasa berkaitan, termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), bagi memastikan usahawan muda turut mendapat ruang berniaga pada acara yang dianjurkan.
Jelasnya, sebahagian tapak perniagaan wajar diperuntukkan kepada ahli persatuan usahawan muda, manakala tapak selebihnya boleh dibuka kepada peniaga lain melalui kaedah sedia ada.
“Contohnya, jika sesuatu acara menyediakan 20 tapak perniagaan, sekurang-kurangnya lima tapak boleh diperuntukkan kepada usahawan muda di bawah SYStartUP, manakala lima lagi untuk Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS),” ujarnya.
Menurutnya, pendekatan itu antara usaha yang boleh dilakukan bagi memastikan ahli persatuan usahawan muda mendapat peluang menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Ripin Lamat; Setiausaha Tetap Kementerian Belia Sukan dan Pembangunan Belia, Datu Zulkornain Masron serta Ketua Bahagian Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Seroji Ludin.
Oleh Adele Rissa





