Usahawan muda perlu bina perniagaan, bukan sekadar kejar kontrak – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui media selepas majlis perasmian Hab SYStartUP di pejabat Persatuan Usahawan SYStartUP Sarawak di Jalan Kulas di Kuching hari ini. Foto Nadya Victoria

KUCHING, 15 Oktober: Usahawan muda di Sarawak perlu melengkapkan diri dengan ilmu, disiplin dan jati diri yang kukuh untuk membina perniagaan mampan, bukan sekadar bergantung kepada peluang mendapatkan kontrak.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendidikan keusahawanan perlu bermula dari peringkat awal bagi memastikan golongan muda memahami selok-belok mengurus perniagaan secara profesional.

Menurutnya, usahawan bukan sahaja perlu mempunyai minat untuk berniaga, malah perlu memahami tanggungjawab mengendalikan syarikat, termasuk urusan pendaftaran, pematuhan cukai pendapatan dan pengurusan operasi.

DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui media selepas majlis perasmian Hab SYStartUP di pejabat Persatuan Usahawan SYStartUP Sarawak di Jalan Kulas di Kuching, hari ini. Foto Nadya Victoria

“Kita mahu mendidik usahawan supaya mempunyai jati diri yang kuat. Kita tidak mahu mereka menjadi usahawan hanya untuk mencari kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Hab SYStartUP di pejabat Persatuan Usahawan SYStartUP Sarawak di Jalan Kulas Tengah di sini, hari ini.

Menurut beliau, Hab SYStartUP pertama di Sarawak itu diwujudkan sebagai platform untuk menghubungkan usahawan muda, selain memudahkan mereka mendapatkan maklumat mengenai program, peluang dan bantuan kerajaan.

RAKAM kenangan bersama usahawan-usahawan Persatuan Usahawan SYStartUP. Foto Adele Rissa

Katanya, hab berkenaan turut menyediakan ruang kepada peserta kohort pertama, kedua dan ketiga program SYStartUP untuk terus berhubung, berkongsi pengalaman serta mendapatkan maklumat bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Usaha membimbing golongan muda, termasuk graduan dan bukan graduan yang berminat menceburi bidang keusahawanan, penting bagi membina asas perniagaan yang kukuh sebelum mereka berkembang ke tahap seterusnya,” ujarnya.

Selain bimbingan, jelasnya, maklumat mengenai skim pembiayaan, geran dan peluang kerjasama dengan syarikat yang telah berjaya juga akan disalurkan bagi membantu usahawan muda mengembangkan perniagaan.

Abdul Karim berkata, akses kepada pembiayaan masih menjadi cabaran bagi sesetengah usahawan muda, terutama mereka yang belum mempunyai pengalaman luas sehingga menyukarkan permohonan pinjaman daripada institusi kewangan.

DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menandatangani plak sebagai simbolik perasmian SYStartUP Hub pertama di Sarawak. Foto Adele

“Sehubungan itu, kerjasama dengan institusi kewangan termasuk Agrobank turut diberi perhatian bagi membantu usahawan muda mendapatkan akses kepada kemudahan pembiayaan yang bersesuaian,” tegasnya.

Beliau berharap Hab SYStartUP dapat diperluas ke zon lain di Sarawak pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai usahawan muda mendapat manfaat daripada bimbingan, jaringan dan sokongan keusahawanan yang disediakan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Ripin Lamat; Setiausaha Tetap Kementerian Belia Sukan dan Pembangunan Belia, Datu Zulkornain Masron serta Ketua Bahagian Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Seroji Ludin.

Oleh Adele Rissa

DUN: Tellian cadang tubuh DUN Belia Sarawak

PETRA JAYA, 15 Oktober: Penubuhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Sarawak dicadangkan sebagai platform rasmi untuk golongan muda menyuarakan pandangan