Spesies dinosaur baharu ditemukan, pernah hidup kira-kira 120 juta tahun lalu

Facebook
WhatsApp
SPESIES pertama daripada kumpulan megaraptoran iaitu dinosaur karnivor berkaki dua yang ditemukan di Eropah, Invictibellatrix amberina.

LONDON, 14 Oktober: Satu spesies dinosaur baharu ditemukan menerusi fosil yang dijumpai di Isle of Wight, United Kingdom (UK), selepas terlepas daripada perhatian penyelidik selama lebih seabad, lapor PA Media/dpa.

Pasukan penyelidik yang diketuai University College London (UCL) menyatakan bahawa dinosaur pemangsa berkuku panjang yang saiznya menyamai harimau besar itu merupakan spesies pertama daripada kumpulan megaraptoran, iaitu dinosaur karnivor berkaki dua, yang ditemukan di Eropah.

Fosil yang membawa kepada penemuan ini merupakan sebahagian daripada tengkorak yang diperoleh Natural History Museum pada 1924.

Spesies baharu megaraptoran itu, yang mempunyai pertalian rapat dengan kumpulan tyrannosaur termasuk Tyrannosaurus rex (T rex), pernah hidup di UK pada awal zaman batu kapur kira-kira 120 juta tahun lalu.

Spesies itu dinamakan Invictibellatrix amberina, dengan perkataan pertama membawa maksud “pahlawan wanita yang tidak dapat dikalahkan”.

Cassius Morrison, penulis utama makalah yang mendokumentasikan penemuan itu dan diterbitkan dalam jurnal Royal Society Open Science, berkata dinosaur berkenaan bukan pemangsa puncak pada zamannya, namun lebih berbahaya kepada manusia berbanding T rex.

FOSIL sebahagian daripada tengkorak yang diperoleh Natural History Museum pada 1924.

Beliau berkata masih menjadi misteri mengapa fosil berkenaan terlepas daripada perhatian penyelidik sejak sekian lama, sedangkan ia tersimpan di dalam laci selama hampir 100 tahun.

“Banyak tulang ditemukan di Isle of Wight. Siapa tahu apa lagi yang menunggu untuk ditemukan,” katanya.

Menurut Morrison, Invictibellatrix dianggarkan berukuran antara tiga hingga empat meter panjang, berketinggian sedikit melebihi 1.5 meter serta mempunyai bulu pelepah dan kuku sepanjang 10 hingga 20 sentimeter.

Dinosaur itu dipercayai memakan dinosaur kecil, cicak dan mamalia.

Fosil berkenaan pada asalnya ditemukan di kaki cenuram di pantai barat daya Isle of Wight oleh ahli paleontologi amatur Reginald Walter Tooley.

Kumpulan megaraptor dipercayai berasal dari Asia sebelum berhijrah melalui Eropah.

Penyelidikan itu dibiayai oleh Palaeontographical Society, Royal Society serta UK Research and Innovation. – Bernama  

Gunung Semeru meletus, abu cecah 900 meter

JAKARTA, 13 Oktober: Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia, meletus sekurang-kurangnya 10 kali pada Selasa, menghamburkan abu gunung berapi sehingga