Terbuka Denmark: Aaron-Roy King berdepan Aaron-Wooi Yik di pusingan kedua

Facebook
WhatsApp
Aaron-Roy King mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark selepas bangkit menewaskan pasangan Korea Selatan 13-21, 21-18, 21-19! Seterusnya, mereka bakal berdepan senegara, Aaron-Wooi Yik.

KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King meneruskan momentum kejayaan menjuarai Terbuka Artik apabila melangkah ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Denmark selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Lee Jong Min hari ini.

Pada aksi pusingan pertama di Jyske Bank Arena di Odense itu, gandingan ranking ke-116 dunia berkenaan bangkit selepas tewas set pertama untuk mencatat kemenangan 13-21, 21-18, 21-19 dalam tempoh 57 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Roy King bakal berdepan satu lagi wakil negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang terlebih dahulu melangkah ke pusingan kedua semalam.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett.

Pasangan suami isteri yang menghuni ranking ke-10 dunia itu mencatat kemenangan 21-15, 21-13, sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada lima dalam pertemuan antara kedua-dua pasangan.

Menanti mereka pasangan Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson atau Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark.

Dalam pada itu, Malaysia berpeluang menambah satu lagi wakil ke pusingan kedua menerusi acara beregu campuran apabila Chen Tang Jie-Chan Wen Tse dijadual menentang rakan senegara Jimmy Wong-Cheng Su Yin petang ini. – Bernama