JAKARTA, 14 Oktober: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda wilayah itu.
Video yang dikongsi orang ramai di media sosial menunjukkan jalan raya dan bangunan di Palangka Raya, ibu kota wilayah berkenaan diselubungi jerebu tebal.
Menurut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menerusi laman sesawangnya, kualiti udara di Palangka Raya kekal pada tahap berbahaya pagi Rabu, dengan kepekatan zarah halus (PM2.5) mencecah hampir lima kali ganda paras ambang bagi kategori pencemaran tertinggi agensi itu.
Satu lagi video yang dikongsi dari Timpah, juga di Kalimantan Tengah menunjukkan langit berwarna jingga dan kawasan sekitarnya dilitupi jerebu tebal. Lelaki yang merakam video itu menyatakan waktu rakaman ialah 11.00 pagi pada 13 Oktober.
Keadaan itu menggambarkan pencemaran udara yang masih berlarutan di beberapa wilayah yang dilanda kebakaran.
Kementerian Perhutanan Indonesia memberi amaran bahawa kualiti udara masih membimbangkan meskipun usaha memadam kebakaran sedang giat dijalankan.
“Kualiti udara berada pada tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya masih menjejaskan Kalimantan Tengah dan beberapa kawasan di Kalimantan Selatan, selain Sumatera Selatan dan Jambi, manakala kualiti udara di kebanyakan kawasan lain di Indonesia kekal pada tahap sederhana atau baik,” menurut kementerian itu menerusi media sosial.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 277,075 kes jangkitan saluran pernafasan akut di 63 daerah dan bandar merangkumi tujuh wilayah terjejas setakat 11 Okt, termasuk 62,400 kes membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.
Menerusi hantaran di Instagram, kementerian itu memaklumkan bahawa seramai 2,106 petugas perubatan dan kesihatan telah dikerahkan ke kawasan terjejas.
Kementerian itu turut mengagihkan bekalan perubatan termasuk lebih 2.89 juta pelitup muka, 280 alat pemekat oksigen dan 4,908 set peralatan perlindungan diri (PPE).
Meskipun keadaan jerebu masih berlarutan, Kementerian Perhutanan memaklumkan bahawa jumlah titik panas kebakaran hutan dan tanah di seluruh negara menurun lebih 77 peratus kepada 244 setakat 9.00 malam Selasa, berbanding 1,085 pada hari sebelumnya, berdasarkan pemantauan satelit menerusi sistem SiPongi.
Di enam wilayah, jumlah titik panas menurun kepada 148 daripada 542, dengan Kalimantan Tengah mencatatkan 65 titik panas, diikuti Sumatera Selatan (59), Kalimantan Barat (15) dan Kalimantan Selatan (sembilan), manakala Jambi dan Riau tidak merekodkan sebarang titik panas.
Kementerian memaklumkan sebanyak 61 pesawat masih dikerah bagi operasi memadam kebakaran, termasuk 17 untuk rondaan udara dan operasi modifikasi cuaca serta 44 bagi operasi pengeboman air. Enam daripada pesawat berkenaan beroperasi di luar wilayah keutamaan terbabit. – Bernama




