Sabati sumbang peralatan bernilai RM79,100 kepada HUS

Facebook
WhatsApp
DATO Wee Hong Seng dan wakil Sabati serta Pansar bersama pihak pengurusan Hospital Umum Sarawak (HUS) pada majlis penyerahan sumbangan lima unit penghawa dingin dan 21 buaian bayi bernilai RM79,100 di Kuching, semalam. Foto Sabati

KUCHING, 14 Oktober: Hospital Umum Sarawak (HUS) menerima sumbangan lima unit penghawa dingin dan 21 buaian bayi bernilai keseluruhan RM79,100 daripada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (Sabati) bagi meningkatkan kemudahan serta keselesaan pesakit.

Sumbangan itu diserahkan dalam satu majlis ringkas di HUS, semalam.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, lima unit penghawa dingin bernilai RM49,700, termasuk kos pemasangan dan paip, disumbangkan oleh Pansar menerusi Sabati untuk kegunaan Wad Perubatan 5.

Sabati turut menyumbangkan 21 buaian bayi bernilai RM29,400 bagi memenuhi keperluan hospital berkenaan.

Bendahari Kehormat Sabati, Datin Siti Shorgayah berkata, kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan rakan strategik penting dalam menggembleng sumber serta kepakaran bagi memenuhi keperluan masyarakat.

DATIN Siti Shorgayah menyerahkan sumbangan buaian bayi kepada wakil Hospital Umum Sarawak (HUS) pada majlis penyerahan sumbangan Sabati bernilai RM79,100 di Kuching, semalam. Foto Sabati

“Kerjasama seumpama ini memainkan peranan penting dalam menambah baik kemudahan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan pesakit, selain memastikan sumbangan yang diberikan membawa manfaat secara langsung kepada mereka yang paling memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha menghimpunkan sokongan daripada pelbagai pihak membolehkan keperluan komuniti dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan.

Sabati turut merakamkan penghargaan kepada Pansar atas sumbangan bagi pemasangan unit penghawa dingin di HUS.

Sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Sabati dalam membantu menambah baik kemudahan hospital serta mewujudkan persekitaran yang lebih selesa untuk pesakit, ibu, bayi baharu lahir dan keluarga mereka.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng; Pemangku Presiden Sabati Dato Doreen Mayang Uggah, Timbalan Presiden III merangkap Setiausaha Kehormat Sabati Dato Enn Ong Siok Ean, Pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung, wakil Pansar Keith Kong, Dr Haironi Yusuf dari OBYU serta ahli Jawatankuasa Eksekutif Sabati.