JAKARTA, 13 Oktober: Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia, meletus sekurang-kurangnya 10 kali pada Selasa, menghamburkan abu gunung berapi sehingga 900 meter di atas puncak.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memaklumkan letusan berlaku antara 12.09 tengah malam hingga 1.11 tengah hari waktu tempatan, dengan kepulan abu bergerak ke arah barat daya dan barat.
Berdasarkan laporan di laman sesawang rasminya, kepulan abu tertinggi mencecah 900 meter dari puncak gunung atau 4,576 meter dari aras laut, direkodkan ketika letusan pada 5.20 pagi dan 6.47 pagi.
Gunung Semeru kekal pada Tahap III, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat di Indonesia.
Justeru, PVMBG menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam lingkungan 13 kilometer dari puncak gunung di sepanjang Sungai Besuk Kobokan, bahagian tenggara gunung berapi itu berikutan risiko aliran piroklastik dan lahar.
“Orang ramai juga dilarang melakukan sebarang aktiviti dalam radius lima kilometer dari kawah atau puncak Gunung Semeru kerana risiko batuan pijar,” menurut PVMBG.
Laporan itu turut menyatakan bahawa gunung berapi yang terletak di sempadan daerah Lumajang dan Malang di Jawa Timur berkenaan meletus lima kali antara 12.09 tengah malam hingga 5.13 pagi, dengan kepulan abu mencapai ketinggian antara 300 hingga 800 meter.
Dua lagi letusan direkodkan pada 8.10 pagi dan 10.37 pagi, masing-masing menghamburkan abu setinggi 800 meter di atas puncak.
Letusan terbaharu yang dilaporkan pada 1.11 tengah hari pula menghasilkan abu setinggi 600 meter yang bergerak ke arah barat daya.
Menurut laporan itu, instrumen seismik merekodkan amplitud maksimum 15 milimeter dengan tempoh letusan selama 88 saat.- Bernama





