ASAJAYA, 13 Oktober: Sebuah rumah kosong berstruktur separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Jemukan menghala ke Semara, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Chung Hua Semera, malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya, PBK I Andrew Mangga berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.30 malam sebelum tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.
Menurutnya, rumah berkeluasan kira-kira 18 x 20 kaki itu didapati terbakar sepenuhnya ketika pasukan bomba tiba di lokasi.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan bekalan air daripada tangki jentera bomba.
Kebakaran berjaya dikawal pada 9.40 malam, manakala operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 10.20 malam selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.

Seramai tujuh anggota bersama sebuah Jenteta Bomba Ringan (LFRT) terlibat dalam operasi berkenaan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Oleh Afiq Sallehi




