KUCHING, 11 Oktober: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 35 tahun ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Kim Pang, Batu Kawa, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William dalam satu kenyataan berkata pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 3.54 petang melalui panggilan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.
Beliau berkata, tindakan segera diambil dengan menghubungi Balai Polis Batu Kawa, unit kereta peronda (MPV), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak ambulans untuk mendapatkan bantuan di lokasi kejadian.
Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di ruang makan rumah berkenaan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.
Operasi pemadaman melibatkan anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan BBP Batu Kawa, selain bantuan anggota polis bagi mengawal keadaan serta menjalankan tindakan di tempat kejadian.
Menurut Barry, kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut (SDR).
Punca kebakaran belum dinyatakan dalam kenyataan polis.
Oleh Afiq Sallehi





