MIRI, 11 Oktober: Tiga pintu rumah panjang di Rumah Wani, Jalan Sungai Lansat, Ulu Tinjar, musnah sepenuhnya dalam kebakaran pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.05 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dengan bantuan BBP Batu Niah tiba di lokasi pada 10.15 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 127 kilometer.

Menurut PGO JBPM Sarawak, kebakaran membabitkan tiga pintu rumah iaitu nombor empat, lima dan enam, dengan setiap pintu rumah dianggarkan berukuran 20 kaki x 50 kaki.
“Ketiga-tiga pintu rumah berstruktur tidak kekal itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat,” menurut kenyataan itu.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Oleh Liong Chai Ling





